Cerpen: Kumtum perdamaian
Oleh: Azmah bt. Nordin
Sinopsis
Doktor Khadijah yang berpakaian seragam lusuh berwarna hijau muda terus mencuci tangannya dengan sabun antiseptik berulang kali, biarpun jari-jemarinya semakin kembang. Beliau sengaja tidak menutup paip, walaupun dia sedar catuan air perlu diambil kira kerana dia tidak sanggup mendengar perbualan orang tentang Atiqah di dalam bilik bedah. Dr. Khadijah yang berusia awal tiga puluhan masih berdiri di singki usang walaupun menyedari bahawa dia akan menjalankan satu pembedahan pemindahan organ buah pinggang Atiqah kepada Mahmoud Noor, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mengalami jangkitan kuman erterusan pada buah pinggangnya sejak kecil lagi.
Sejak berkhidmat selama 5 bulan yang lepas sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah di bumi teluk, Dr. Khadijah tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan Atiqah dalam keadaan tubuh yang terbujur lesu dan bernyawa-nyawa ikan itu. Dia masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan Atiqah ialah 4 bulan yang lalu. Atiqah mengamuk kerana tidak mahu alat bantuan pernafasan ibunya ditanggalkan. Dr. Khadijah cuba menerangkan agar Atiqah faham masalah di hospital itu yang mana pesakit lain memerlukan alat bantuan pernafasan sedangkan ibunya masih tidak ada apa-apa perubahan. Dengan mata yang galak dan bengis, Atiqah mengugut akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mengambil alat bantuan pernafasan ibunya. Oleh itu, Dr. Abdullah El-Ahmed memberi masa seminggu lagi kepada ibu Atiqah menggunakan alat bantuan pernafasan itu.
Beberapa hari selepas peristiwa itu, Atiqah tidak jemu-jemu merayu ibunya bangun untuk membuktikan kepada kakitangan hospital bahawa ibunya berpeluang untuk sembuh dan pada setiap hari Atiqah memberikan sekuntum bunga merah yang disematkan di celah rambut ibunya. Ibu Atiqah mula menunjukkan tindak balas dan segera diberi pertolongan kecemasan oleh Dr. Khadijah dan pembantu-pembantunya. Keesokan malamnya, Atiqah mewletakkan sekuntum bunga merah di atas meja Dr. Khadijah sebagai tanda perdamaian antara dirinya dengan Dr. Khadijah.
Detik pertemuan Atiqah dengan Dr. Khadijah sebenarnya bermula pada beberapa bulan yang lalu. Atiqah seorang gadis kecil yang periang sering datang ke hospital, biarpun kehadirannya melanggar peraturan hospital untuk melawat ibunya yang sedang nazak akibat terhumban ke tanah dari lori minyak yang di pandu oleh ayahnya.
Ketika melawat ibunya, Atiqah sering membawa sekuntum bunga merah dan diselitkan di celah-celah rambut ibunya sambil merayu ibunya agar bercakap dengannya sambil mengucup ibunya berkali-kali. Melihat kasih sayang Atiqah itu, mengingatkan Dr. Khadijah kepada ibunya yang berketurunan Idaan, tentang kepercayaan bahawa nenek moyang mereka berasal dari Nunuk Ragang di hulu Labuk dalam daerah Ranau dan juga terbayang bentuk pohon ara berbunga merah yang dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kini keadaan Atiqah sudah berbeza. Dia mengalami kecederaan yang teruk. Dr. Abdullah El-Ahmed memberitahu bahawa Atiqah yang mengalami kecederaan teruk di kepala tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi dan mencadangkan buah pinggang Atiqah didermakan kepada orang lain yang memerlukan.
Ibu Atiqah bersetuju dan menganggap bahawa itu adalah tindakan yang wajar dilakukan kerana menurutnya Atiqah seorang penyayang. Dia sentiasa mahu memberi kasihnya kepada orang lain. Namun begitu, suara halus naluri Dr. Khadijah membantah tindakan pemindahan organ buah pinggang Atiqah itu kerana dia tidak mahu jasad gadis kecil itu disakiti lagi, tetapi suaranya tersekat di kerongkongnya. Akhirnya dengan himpunan seluruh kekuatannya dan dalam kengiluan, Dr. Khadijah melaksanakan tanggungjawabnya menjalankan pembedahan pemindahan buah pinggang dengan dibantu oleh Dr. Abdullah El-Ahmaed kerana mereka hanya mempunyai 48 jam untuk melakukan pembedahan tersebut.
Pada suatu senja yang hening, ketika Dr. Khadijah sedang berehat setelah keletihan menjalankan tugas sehariannya, Dr. Abdullah El-Ahmed membawa seorang tetamu yang istimewa bertemu dengan Dr. Khadijah. Tetamu itu ialah kanak-kanak lelaki yang menerima organ buah pinggang daripada Atiqah. Kanak-kanak itu mengucapkan terima kasih kepada Dr. Khadijah dan menghulurkan sekuntum bunga merah yang membawanya kepada Dr. Khadijah. Tiba-tiba Dr. Khadijah merasakan perjuangannya di bumi Teluk tidak sia-sia.
(dipetik daripada: Mutiara Sastera Melayu Moden STPM oleh: Ab. Rahman Ab. Rashid, Rahim Ngahat dan Mohamad Mokhtar Hassan).
No comments:
Post a Comment