Buku teks
sejarah akan ditulis semula bagi menyelaraskannya dengan fakta dan bukannya
mitos dan legenda, kata pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.
Sebagai
contoh, katanya, tiada rekod menunjukkan laksamana Melaka Hang Tuan dan Hang
Jebat serta Puteri Hang Li Po benar-benar wujud, lapor The Star.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada anekdot sejarah yang
tidak dapat disahkan akan dimasukkan dalam cadangan baru sukatan pelajaran
sejarah untuk 2014.
Khoo (kanan) yang juga
sebahagian daripada anggota jawatankuasa bagi menganalisis kurikulum itu
berkata, cakap-cakap tidak wajar dimasukkan sebagai fakta dalam buku teks.
"Agenda
utama jawatankuasa ini untuk menanamkan unsur patriotisme" (di kalangan
pelajar)
"Pandangan
peribadi saya, mitos dan legenda tidak patut dimasukkan dalam kurikulum.
"Bagaimanapun,
jika mereka pilih memasukkannya, ia mesti dengan jelas menyatakan bahawa
cerita-cerita itu bukan berasaskan fakta," beliau dipetik sebagai berkata
kepada harian berbahasa Inggeris itu.
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today
(FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari
dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka,
Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut,
Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka
yang terkenal sejak zaman dahulu.
“Sejarah mestilah berdasarkan rekod yang
empirikal dan tepat, dan ahli-ahli sejarah hanya perlu menerima rekod bertulis
yang sahih, ” katanya.
Mungkin artikel yang pernah tersiar dalam
Kosmo! kira-kira dua tahun dulu boleh membuatkan kita merenung kembali
kenyataan yang dibuat oleh Kay Kim;
Timbalan Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme (Iksep) Melaka, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin memberitahu, apa yang
terkandung dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah bukan berpaksikan
khayalan semata-mata.
Menurutnya, watak-watak yang disebutkan di
dalamnya adalah catatan dan ingatan terhadap peristiwa yang berlaku pada zaman
dan persekitaran zaman itu. Selanjutnya, ia terkesan dalam masyarakat sehingga
akhirnya ia direkod secara bertulis oleh penulis hikayat.
“Selain daripada dua kitab itu, di Melaka,
makam Hang Tuah juga sudah ditemui dan dibuka untuk kunjungan awam di Tanjung
Kling. Begitu juga dengan penemuan sebuah perigi di Duyong.
“Mengapa masih ada yang tidak percaya mengenai
jejak Hang Tuah?,” soal Mohd. Jamil yang melahirkan rasa kurang senangnya
terhadap golongan yang mahu menafikan kebenaran Hang Tuah.
Apatah lagi dokumentasi hidup Laksamana Hang
Tuah dalam hikayatnya bukan sahaja tersimpan baik di dalam negara, malah
salinannya mendapat tempat di perpustakaan terkemuka di London dan Belanda
sebagai naskhah rujukan dunia Melayu.
“Bukankah setiap catatan yang bertunjangkan
kisah ketuanan Melayu dan Islam sering menjadi sasaran perubahan yang
dirancang?
“Laksamana Hang Tuah bukan sahaja pahlawan
dunia Melayu negara ini, malah seorang tokoh yang diagungkan di seluruh gugusan
Melayu Nusantara ketika abad ke-15,” rumus Mohd. Jamil.
Walau bagaimanapun, kisah Hang Tuah seakan
hilang jejak selepas Sultan Mahmud Shah dari Melaka berundur ke Johor.
“Sejak itu, nama Hang Tuah tidak dikaitkan
dengan sebarang sejarah pembentukan dan perkembangan negeri ini,” kata Timbalan
Pengarah Yayasan Warisan Johor, Mohd. Ismail Jamjam.
Menurut pemilik nama pena Zam Ismail itu,
walaupun negeri Johor tidak memiliki apa-apa sokongan atau bukti sejarah
mengenai kewujudan Hang Tuah, kewujudan pahlawan terbilang itu suatu masa
dahulu tetap diyakininya.
“Keraguan tentang benar atau tidak Hang Tuah
wujud berpunca kerana kita tidak memahami secara mendalam tentang pensejarahan
Melayu.
“Memanglah ada antaranya yang dicedok daripada
cerita-cerita lisan namun tidak bermakna kandungannya langsung tidak boleh
diberi peluang untuk dinilai semula,” katanya.
Ismail berpendapat, ketika Tun Sri Lanang
menulis Sejarah Melayu, tiada orang Melayu lain yang lebih arif untuk merekod
apa yang berlaku pada zaman tersebut. Maka, itu adalah sumber paling hampir.
Ismail walau bagaimanapun tidak menafikan
tentang perubahan jalan cerita, versi penceritaan dan kecenderungan untuk
menokok-tambah dalam pengkisahan cerita lama.
Memandangkan dokumentasi antara penulis hikayat
sedunia dahulu kala saling berkait akibat kerancakan aktiviti perdagangan laut,
maka pertindihan fakta tidak dapat dielakkan hingga boleh mengelirukan.
Jalan keluarnya adalah dengan menjalankan kajian
yang terperinci supaya kedudukan Hang Tuah lebih kukuh dalam pemikiran dan
penilaian generasi semasa dan akan datang.
“Panglima Awang yang dianggap dongeng oleh
masyarakat kita misalnya, diangkat sebagai figura penting dunia Melayu oleh
penulis Barat. Mereka mencatatkan bahawa dia seorang yang berketurunan Orang
Laut,” katanya memberi contoh.
“Sebarang usaha memutarbelit cerita tentang
laksamana itu sebenarnya didorong oleh keinginan untuk merendahkan ketuanan
Melayu di negara ini hingga membuatkan masyarakat Melayu berasa lemah.
“Tindakan memperlekeh ini tidak boleh
berterusan,” tegas Ismail yang juga tidak dapat menerima idea yang mengatakan
Hang Tuah itu berketurunan Cina.
Apa pendapat anda agaknya?
No comments:
Post a Comment