Part 2
Menolong Orang Zalim dan Yang Dizalimi
Daripada Anas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”, berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?” jawab baginda, “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya”.
Hasad Dengki Adalah Haram
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, haratanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).”
Jangan Mendedahkan Aib Orang lain
Daripada Ibnu Umar R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya dihari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”.
Waktu Doa Paling Mustajab
Dari Ibnu Abbas RA katanya: Rasulullah SAW membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.
RIWAYAT : BUKHARI DAN MUSLIM