Pages

Monday, April 9, 2012

Sinopsis Keseluruhan Novel Konserto Terakhir Novel Konserto Terakhir, karya Abdullah Hussain







Sinopsis Keseluruhan

Konserto Terakhir mengisahkan tentang seorang anak kampung bernama Hilmi yang telah datang ke rumah bapa saudaranya, Datuk Johari di Bandar untuk mencari pekerjaan. Kedatangannya tidak disenangi oleh Datuk Johari sekeluarga terutamanya Datin Salmah. Oleh sebab Hilmi hanya berkelulusan darjah empat sekolah Melayu. Datuk Johari tidak berjaya mendapatkan sebarang pekerjaan untuknya dan akhirnya Hilmi diambil bekerja sebagai tukang kebun di rumahnya. Walau bagaimanapun, Hilmi tetap tidak mendapat layanan yang baik daripada keluarga Datuk Johari.

Hilmi tetap seronok walaupun tidak mendapat layanan yang baik. Dia dapat merasakan bahawa dirinya dan bunga-bunga serta kebun sayurnya itu seperti mempunyai dunia sendiri. Datuk Johari mempunyai seorang anak gadis yang bernama Hayati yang mempunyai tunang bernama Mohsin. Hilmi dalam diam-diam menaruh hati kepada adik sepupunya itu sehinggakan dia cemburu dengan hubungan antara Hayati dan Mohsin. Di samping itu, Hilmi juga terpikat dengan alunan piano yang dimainkan oleh Hayati. Hilmi secara tidak sengaja telah merosakkan piano tersebut dan telah menyebabkan dia dimarahi Datin Salmah dan dipotong gajinya.

Sepeninggalan Datuk Johari dan keluarganya ke laur negeri, Hilmi ditugaskan untuk menjaga rumah. Sepanjang tempoh tersebut, Hilmi telah berkawan dengan Mamat iaitu drebar Dr. Nathan jiran Datuk Johari. Mamat telah pulang ke kampung dan telah berkahwin dengan Esah. Mamat juga telah membantu Hilmi berkenalan dengan seorang ahli muzik terkenal yang bernama Encik Bakar. Melihatkan bakat yang dimiliki oleh Hilmi, Encik Bakar amat berminat untuk melatih Hilmi menjadi ahli muzik yang terkenal tanpa sebarang bayaran.

Kepulangan Datuk Johari sekeluarga telah menimbulkan konflik antara Hilmi dengan Datin Salmah kerana setibanya mereka di pekarangan rumah, mereka telah mendengar bunyi piano dimainkan. Lebih-lebih lagi apabila Hayati memberi oleh-oleh kepada Hilmi. Datin Salmah telah menuduh Hilmi menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Hayati. Akhirnya Hilmi terpaksa meninggalkan rumah Datuk Johari dengan alasan untuk balik ke kampung.

Hilmi tidak jadi balik ke kampung tetapi telah bekerja di sebuah stesen minyak di Jalan Setapak. Hilmi kemudian meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang pemuzik dan terus belajar muzik dengan Encik Bakar. Akhirnya Hilmi sudah pandai bermain pelbagai jenis alat muzik terutamanya trompet, seksofon, klarinet, dan biola. Hilmi juga telah berjaya menggubah lagu pertama yang berjudul “Sebuah Intermeso”.
Kekecewaan Hilmi semakin parah apabila dia mendapat berita perkahwinan Hayati dengan Mohsin. Untuk meneruskan cita-citanya Hilmi berhenti dari kios minyak petrol itu dan Encik Bakar membawanya bermain di dalam quartet yang dipimpinnya. Akhirnya Hilmi telah muncul sebagai “Pemain Biola Hikmat Malaysia”. Hayati pula telah mendapat biasiswa daripada British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat ke London. Dengan pertolongan Mamat, Hilmi sempat berjumpa dengan Hayati. Hilmi telah menggubah sebuah lagu berjudul “Detik-detik Perpisahan” sempena perpisahannya itu. Sesuai dengan perkembangan muzik ketika itu Hilmi dan Azizah iaitu anak Encik Bakar telah menubuhkan sebuah kugiran, yang diberi nama Kugiran Dahlia. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Akhirnya Hilmi dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Rumah tangga yang dibina bersama Azizah tidak bahagia. Keretakan yang terjadi dalam rumah tangganya itu telah tidak dapat diselamatkan. Perasaan Hilmi bertambah sedih apabila mendapat berita Encik Bakar telah meninggal dunia. Kejayaan Hilmi sampai ke puncaknya. Tiga tahun berturut-turut Orkestra Hilmi telah muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia). Hilmi juga telah diminta untuk membuat satu arrangement ( penyusunan) semua lagu yang telah digubahnya dalam satu pertunjukan Orkestra Perdana setaraf dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang akan dihadiri oleh pembesar-pembesar negara. Dia memberi nama arrangement itu “Hilmi Potpouri”.

Hilmi telah bekerja siang dan malam selama dua bulan tanpa menghiraukan makan dan minum. Tidurnya amat sedikit sehinggakan kesihatannya terganggu. Di saat-saat pertunjukan Orkestra Perdana akan berlangsung, Hilmi telah jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital. Hayati telah muncul sebagai penyelamat keadaan dengan memimpin pertunjukan Orkestra Perdana itu.

Keadaan Hilmi kritikal. Ketika di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya Karim. Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi bukanlah anaknya tetapi anak Datuk Johari. Perkhabaran itu menyebabkan Datuk Johari dan Datin Salmah menyesal kerana menganiayai Hilmi. Setelah diberitahu oleh doktor keadaan Hilmi semakin pulih, Datuk Johari dan keluarganya balik ke rumah. Setiba sahaja di perkarangan rumah, Datuk Johari menerima panggilan telefon menyatakan Hilmi telah meninggal dunia.

Sinopsis Bab 1 hingga 14

Sinopsis Bab demi Bab
Sinopsis Bab 1 – KeluargaHayati tidak ada mood ( keinginan ) untuk belajar piano pada hari itu kerana sering membuat kesalahan. Keadaan ini menimbulkan salah faham antara Hayati dengan guru pianonya. Tiba-tiba muncul Hilmi di saat-saat getir tersebut. Hilmi memperkenalkan dirinya sebagai dua pupu Hayati iaitu anak Pak Karim dari Kedah. Hayati berasa gusar melihat gerak-geri Hilmi yang serba canggung. Dia tidak pernah mengetahui bahawa bapanya masih mempunyai saudara di kampung. Datin Salmah juga tidak menyenangi kehadiran Hilmi di rumahnya. Sementara menunggu kepulangan Datuk Johari, Hilmi ditempatkan di sebuah bilik berhampiran dengan bilik Pak Amat, drebar mereka. Kehadiran Hilmi telah mengingatkan Datuk Johari tentang kampung halamannya yang telah ditinggalkan selama tujuh belas tahun lalu.
Hilmi menyatakan hasratnya untuk mencari pekerjaan. Walau bagaimanapun, kelulusannya yang hanya setakat darjah empat sekolah Melayu menyukarkan usaha Datuk Johari mencari pekerjaan untuknya. Akhirnya Hilmi disuruh menjadi tukang kebun di rumahnya. Hilmi bekerja dengan tekun membersihkan kebun itu. Dalam masa yang sama, perasaannya cemburu melihat kemesraan antara Hayati dengan Mohsin.


Sinopsis Bab 2 – Kuli

Hilmi gembira dengan pekerjaannya sebagai tukang kebun. Dia telah melakukan perubahan yang besar di pekarangan rumah itu sehinggakan mendapat pujian daripada Datuk Johari dan juga Dr. Nathan iaitu jiran Datuk Johari. Hilmi berkawan baik dengan Pak Amat. Pak Amat pernah menjadi penyelam mutiara di Darwin, Australia. Datuk Johari gelisah apabila Dr. Nathan bertanyakan tentang tukang kebun barunya itu kerana dia tidak sampai hati menganggap Hilmi sebagai tukang kebunnya. Hilmi amat tertarik dengan mainan piano Hayati. Rumah Datuk Johari juga sering didatangi oleh saudara mara Datin Salmah yang berpangkat.
Dalam pada itu, Datin Salmah teringat akan kata-kata kakaknya Siti Hajar tentang Hilmi kerana lambat laun orang akan mengetahui bahawa Hilmi itu anak saudara Datuk Johari. Hasutan Siti Hajar itu menimbulkan rasa gelisah di hati Datin Salmah dan dia berusaha mencari jalan untuk mengusir Hilmi dari rumahnya.


Sinopsis Bab 3 – Piano
Hilmi kecewa apabila dia mendapati tanamannya dirosakkannya oleh kumbang. Dia telah melepaskan geramnya dengan memijak-mijak kumbang-kumbang itu dengan tumitnya. Tindakan Hilmi itu ditegur oleh Hayati dan menganggap dia seorang yang kejam. Akhirnya Hayati faham kenapa Hilmi memusnahkan kumbang yang mengancam keselamatan tanamannya. Kadangkala Hayati ikut bersama-samanya mencari kumbang dan ulat. Dua kali dalam seminggu iaitu hari Sabtu dan Khamis, Hayati belajar bermain piano di rumahnya. Pada hari-bari tersebut Hilmi akan mencari kerja yang dapat dibuatnya di depan rumah berhampiran dengan ruang tamu. Pada kedua-dua hari tersebut keletihannya terasa hilang, dan dia menunggu kedua-dua hari itu dengan penuh harapan kerana dia dapat mendengar lagu-lagu merdu yang keluar dari hujung-hujung jari Hayati yang diletakkan di atas pianonya. Lagu-lagu itu menjadi makanan rohaninya. Pada suatu hari Khamis, Hilmi gelisah kerana Hayati belum pulang lagi. Rupa-rupanya Hayati dan Mohsin pergi menonton wayang.
Hati Datin Salmah mulai berubah terhadap Hilmi. Dia tidak lagi menyebutnya sebagai tukang kebun tetapi sebagai kaum keluarganya. Datuk Johari juga mulai bangga kerana tiap-tiap orang yang datang memuji-muji tanaman bunga di rumahnya. Malah hasil tanaman seperti terung, kacang, timun, dan petola telah berbuah dengan lebatnya dan menjadi satu kebanggaan pula kepada Datin Salmah. Dia menghadiahkan hasil tanaman itu kepada teman-temannya apabila pergi ke morning coffee dan juga ketika ada antara kawannya yang datang berkunjung ke rumahnya, mereka pulang dengan membawa buah tangan. Datin Salmah gembira mendengar pujian daripada kawan-kawannya.


Sinopsis Bab 4 – Hukuman

Leha, penolong pembantu rumah telah pulang ke kampung. Hilmi telah ditugaskan oleh Datin Salmah untuk membersihkan ruang tamu. Hilmi amat senang hati menerimanya kerana dapat datang berhampiran dengan piano. Suatu hari Hilmi keseorangan di rumah kerana Datin tidak ada di rumah, manakala Hayati belum pulang dari sekolah, sementara Mak Minah keluar ke rumah seorang kenalannya. Hilmi telah mencuba memainkan piano tersebut sehingga tidak menyedari kepulangan Mak Minah. Perbuatan Hilmi itu ditegur oleh Mak Minah kerana takut dimarahi oleh Datin Salmah. Kebimbangan Hilmi jelas terlihat apabila Datin Salmah memanggilnya. Rupa-rupanya Datin Salmah menyuruhnya mengambil bunga yang dibawa dari rumah kawannya. Hilmi juga berasa lega kerana Mak Minah tidak memberitahu mak ciknya tentang perlakuannya tadi.
Ketika Hayati pulang dan hendak menghiburkan tetamunya iaitu pak cik dan mak ciknya, dia menyedari pianonya telah rosak. Apabila dia meletakkan jari-jarinya pada mata-mata piano dan membuat "intro"-nya dengan C minor, tiba-tiba pada mata yang mengeluarkan nada “fa” nadanya begitu melenting. Peristiwa itu telah menimbulkan kegemparan kecil. Datin Salmah mula mencari siapa yang mengganggu piano itu. Ketika dipanggil oleh Datin Salmah, Mak Minah terpaksa memberitahu yang Hilmi telah memainkan piano itu. Datin Salmah ingin mengambil kesempatan dari peristiwa itu untuk mengusir Hilmi. Atas kebijaksanaan Datuk Johari, Hilmi dimaafkan dan dipotong gajinya. Datin Salmah juga menyuruh Hilmi memujuk Hayati dan memohon maaf daripadanya.
Sementara itu, Datin Salmah sekeluarga akan bercuti selama satu bulan. Mak Minah dan Pak Amat juga diberi cuti balik ke kampung. Hilmi diminta untuk menjaga rumah tersebut sepanjang peninggalan mereka. Hilmi amat kesunyian sepanjang ketiadaan mereka terutamanya rasa kehilangan terhadap Hayati kerana sebulan lamanya dia tidak akan mendengar lagu-lagu yang dimainkan oleh Hayati. Kehidupan Hilmi sepanjang waktu hanya bertemankan bunga-bunga dan tanamannya sahaja.


Sinopsis Bab 5 – Penunggu
Hilmi tidak ikut menghantar Datuk Johari dan keluarganya berangkat ke luar negeri. Dia memuatkan barang-barang yang mahu dibawa ke dalam motokar. Datuk Johari berpesan supaya menjaga rumah dengan baik. Datin Salmah pula tidak bercakap sepatah pun dengannya. Dia sibuk bercakap dengan orang lain. Sepeninggalan mereka, Hilmi mendapat simpati jiran Datuk Johari, iaitu Dr. Nathan. Mamat kawan baiknya iaitu drebar Dr. Nathan juga balik ke kampung. Hilmi sibuk mengemaskan rumah Datuk Johari. Hidupnya terasa bebas. Dia menjadi tuan rumah dan dia juga menjadi raja. Setelah selesai mengemas, Hilmi masuk ke bilik mak ciknya. Dia amat terkejut kerana bilik itu seperti sebuah syurga. Dari bilik mak ciknya, dia pergi pula ke bilik Hayati. Seolah-olah perasaannya amat dekat dengan Hayati. Dia amat merindui Hayati. Hilmi masuk pula ke bilik tamu. Di ruangan tamu, matanya tertumpu pada piano. Keinginannya untuk bermain piano begitu kuat dan meronta-ronta di dalam dirinya tetapi dia tidak berani menyentuhnya. Akhirnya dia menuju ke biliknya. Tiba-tiba Hilmi teringat kucing Siam kesayangan Hayati. Dia masuk ke dalam rumah mencari kucing itu. Dia membawa kucing itu ke dapur dan diberi makan ikan.
Dalam pada itu, Mamat, drebar Dr. Nathan telah balik dari kampung dan membawa bersama isterinya Esah. Esah telah diperkenalkan oleh Mamat kepada Hilmi. Mamat mengajak Hilmi makan bersama-samanya. Esah juga telah bekerja sebagai tukang masak di rumah D. Nathan. Hilmi berasa kecewa. Dia mengharapkan bila Mamat balik dari Kelantan dia mahu mengajak Mamat tidur bersama-sama menemaninya. Mamat telah memperkenalkan Hilmi dengan Encik Bakar, seorang ketua sebuah quartet. Encik Bakar menyuruh Hilmi bermain organ dan Hilmi telah mendapat pujian daripada Encik Bakar. Encik Bakar mengajar Hilmi muzik secara percuma. Hilmi amat gembira mendengar kata-kata Encik Bakar kerana pada sangkaannya Encik Bakar akan mengenakan bayaran kepadanya.
Justeru, Hilmi pada mulanya kurang senang kerana setiap kali dia pergi ke rumah Encik Bakar, dia akan meninggalkan rumah pak ciknya. Dia berasa bersalah kerana telah melanggar janji-janjinya pada pak ciknya. Walau bagaimanapun kerana minat yang amat mendalam terhadap muzik, Hilmi terpaksa melakukannya. Hilmi telah belajar dengan tekun dan Encik Bakar juga telah mengajarnya tentang not-not muzik.


Sinopsis Bab 6 - Muzik
Hilmi berasa bertuah kerana dapat belajar muzik dengan Encik Bakar. Sebaik sahaja pulang dari rumah Encik Bakar, Hilmi menjalankan tugas biasanya seperti menyiram pokok-pokok bunga. Hilmi juga mendapat sokongan dan galakan yang kuat daripada Mamat dan isterinya. Setelah kembali dari bilik Mamat kerana berbual-bual dengan mereka, Hilmi balik ke rumah. Hilmi terus ke sudut di mana terletaknya piano dan memainkannya. Tanpa disedari Datuk Johari dan keluarganya telah kembali dari luar negeri. Hayati terpesona melihat Hilmi bermain piano. Datin Salmah terpegun. Datuk Johari tegak tidak bergerak. Akhirnya dia menyedari seperti diperhatikan. Lantas terperanjat kerana tidak menyedari kepulangan pak ciknya sekeluarga. Hilmi bergegas membawa masuk beg-beg yang banyak dan terus kembali ke dalam biliknya. Hilmi dikejutkan dengan kedatangan Hayati yang membawa oleh-oleh untuknya yang berupa sebuah patung wanita dengan pakaian gaun kembang zaman kuno. Patung itu juga boleh mengeluarkan bunyi lagu “Blue Danube”. Hubungan mesra Hilmi dan Hayati tidak disenangi oleh Datin Salmah. Lebih-lebih lagi apabila Hayati membeli oleh-oleh kepada Hilmi. Sedangkan selama perjalanan mengelilingi England itu, tidak pernah sekalipun disebutnya nama Hilmi. Hayati Cuma menyebut nama Mohsin sahaja. Naluri keperempuanan Datin Salmah merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada Hayati.

Sinopsis Bab 7 – Oleh-oleh
Mohsin terperanjat apabila mendengar kepulangan Hayati dan kesal kerana dia tidak dapat menjemput Hayati di lapangan terbang. Sebelum ke pejabatnya Mohsin singgah dahulu ke rumah Hayati. Ketika Datin pergi memanggil Hayati dia terlihat Hayati sedang berdiri amat dekat dengan Hilmi memerhatikan sesuatu di pokok ros. Hayati tidak menghiraukan panggilan ibunya kerana asyik bercerita kepada Hilmi tentang perjalanan mereka di England, tentang konsert muzik yang disaksikannya di Vienna, tentang pemandangan yang indah di kebun tulip di negara Belanda. Hayati juga senang mendengar cerita Hilmi tentang bunga-bunganya.
Apabila diberitahu tentang kedatangan Mohsin, Hayati tidak berminat untuk mengetahuinya. Hayati hanya mencecah dengan hujung jarinya sahaja apabila Mohsin menghulurkan tangannya. Hayati telah menghadiahkan neck tie ( tali leher ). Mohsin juga terasa ada sesuatu yang aneh pada gerak-geri Hayati tetapi dia tidak berapa pasti. Hayati selalunya gembira menyambut kedatangannya tetapi tidak sekarang ini.
Sebaik sahaja Mohsin keluar dari rumah itu, Hayati terus masuk berkurung di dalam biliknya. Datin Salmah semakin gelisah dan hatinya mulai percaya bahawa perubahan perangai anaknya itu mesti ada sangkut paut dengan dukun. Mesti ada anasir-anasir jahat memainkan peranannya. Suaminya tidak mudah percaya dengan cerita karut serupa itu, lebih-lebih lagi apabila membabitkan anak penakannya sendiri. Datin Salmah memanggil Hayati untuk mendapat penjelasan daripadanya tetapi anaknya itu telah menjawab dengan kasar menyebabkan Datin Salmah memberi amaran dan Hayati tidak dibenarkan bercakap lagi dengan Hilmi. Datin Salmah juga sudah nekad untuk mencari jalan supaya Hilmi keluar dari rumahnya.
Dalam pada itu, Mak Minah datang pada petang itu dari kampung setelah Datin Salmah menelefon kepadanya melalui Balai Polis Lenggeng. Dia membawa oleh-oleh dari kampung yang Hayati gemari. Hayati pula menghadiahkan Mak Minah jam tangan kecil buatan Swiss. Mak Minah amat gugup mendapat jam baru. Dia teringat setiap kali Hayati pulang dari tempat-tempat yang jauh setiap kali itu pula ada oleh-oleh untuknya.

Sinopsis Bab 8 - Sengketa
Hilmi ke rumah Encik Bakar. Kedatangannya itu disambut oleh Azizah, anak Encik Bakar. Sebaik sahaja Hilmi melangkah masuk, Azizah menutup pintu. Azizah cuba menggoda Hilmi. Mula-mula Hilmi agak kekok tetapi lama-kelamaan sudah tidak terasa apa-apa baginya duduk satu bangku dengan Azizah dan bersentuhan badan. Tiba-tiba Azizah tersentak apabila mengetahui yang Hilmi hanya tukang kebun bapa saudaranya sahaja. Pada sangkaannya Hilmi itu paling tidak seorang kerani kecil atau seorang guru. Hilmi kemudian terus meminta izin untuk pulang.
Apabila menghampiri rumah bapa saudaranya, perasaan Hilmi gementar kerana terdapat tiga motokar asing di depan pekarangan rumah itu. Hilmi masuk dari pintu kecil di sebelah belakang. Mak Minah datang memberitahunya bahawa Datin Salmah heboh mencarinya. Ketika Hilmi sedang menyiram bunga-bunga yang terletak di bahagian anjung depan rumah itu, Datin Salmah datang dengan marah bertanyakan ke manakah dia pergi. Hilmi meminta maaf daripada mak ciknya dan berlalu pergi. Setelah selesai semuanya, Hilmi pun mandi dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia teringatkan peristiwa yang berlaku antara dia dengan Azizah.
Dalam pada itu, ketika Encik Bakar pulang, Azizah memberitahu kedatangan Hilmi. Encik Bakar berpesan kepada Mamat supaya memberitahu Hilmi yang dia akan pergi ke rumah adik iparnya di Klang. Dia meminta Mamat menyampaikan pesan supaya Hilmi datang besok. Azizah juga cuba memberitahu bapanya tentang pekerjaan Hilmi sebagai tukang kebun tetapi bapanya tidak mengendahkan berita itu. Dia tahu Azizah kecewa kerana pada anggapannya Hilmi tidak setaraf dengannya. Azizah lulusan MCE dan sedang mencari kerja. Paling rendah pasangan yang ingin dicarinya ialah kerani. Bagi Encik Bakar untuk menjadi ahli muzik bukan perlu persekolahan tinggi. Ilmunya jika tidak diajarkan kepada orang, habislah reput dengan tulang-belulang di dalam kubur nanti. Azizah terdiam dan berasa kesal akan sikapnya itu terhadap Hilmi.
Namun begitu, perkara lain berlaku di rumah Datuk Johari. Hilmi tidak mahu makan makanan yang dibawa oleh Mak Minah kerana kecewa apabila diberitahu bahawa mak ciknya tidak membenarkan Mak Minah memanggilnya makan. Mak Minah meletakkan makanan itu di atas meja kecil dan balik ke dapur mengambil tudung saji dan air minum. Hayati muncul bersama-sama Mak Minah untuk memujuk Hilmi makan. Hayati bangun dan duduk di sebelah Hilmi. Hilmi memandang Hayati dengan perasaan pilu. Dia bingung dengan sikap yang diperlihatkan oleh Hayati. Selama ini dia menyangka Hayati tidak pernah mempedulikannya, Hilmi akhirnya menyuruh Hayati keluar. Mak Minah cuba menenangkan Hilmi dan menasihatinya supaya jangan terlalu ambil hati terhadap sikap mak ciknya. Hilmi kemudiannya keluar untuk berjumpa Mamat dan meminta pertolongannya mencari tempat untuknya berpindah dari rumah Datuk Johari.

Sinopsis Bab 9 – Pertemuan

Setelah dua hari Hilmi tiada di rumah barulah Datin Salmah menyedari bahawa kehadiran Hilmi selama ini mempunyai erti besar kerana adanya Hilmi di rumah itu, dia tidak perlu memikirkan sedikit pun tentang tanaman bunganya. Sami yang dihubungi oleh Datuk Johari tidak dapat datang bekerja, paling cepat akhir bulan. Dalam tempoh 12 hari itu, Datin Salmah mengerahkan Mak Minah, Pak Amat, dan Hayati sendiri untuk menolongnya menyiram bunga-bunga itu pada waktu petang. Hayati kini tidak mahu bercakap dengan ibunya sejak diketahui Hilmi telah pergi. Dia asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Hayati kecewa kerana pada hari itu setelah pulang dari sekolah, dia mahu memberikan Hilmi tiket untuk menonton permainan piano seorang pianist dunia yang terkemuka yang akan diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Hayati amat kecewa apabila diberitahu oleh Mak Minah bahawa Hilmi telah pulang ke kampung. Tetapi Hayati tahu itu merupakan helah ibunya yang sememangnya tidak suka Hilmi tinggal di situ. Datin Salmah kemudian memujuk Hayati dan menyatakan bahawa Hilmi akan datang lagi selepas itu. Datin Salmah juga mulai risau tentang perubahan yang berlaku pada Hayati. Matanya sudah mulai cengkung, makannya sudah tidak banyak lagi. Dia bercadang untuk menyatukan Hayati dan Mohsin seberapa segera. Hayati boleh melanjutkan pelajarannya di England dan Mohsin pula boleh menyambung pelajaran tetapi Hayati menolak. Apabila ditanya oleh Mohsin tentang perubahan Hayati mereka membuat alasan keadaan Hayati yang murung dan susut tubuhnya itu kerana teringatkan Mohsin.
Dalam pada itu, Mamat menghantar Hilmi ke tempat bas. Hilmi amat gelisah. Bapanya sebenarnya tidak sakit. Surat yang diperlihatkan kepada pak ciknya itu ialah surat yang ditulis oleh Mamat. Dia amat risaukan Hayati. Hilmi teragak-agak mahu naik atau tidak. Akhirnya dia ikut naik. Waktu bas itu meninggalkan Tanjung Malim setelah berhenti rehat selama 30 minit, salah satu kerusi bas itu telah kosong. Hilmi tidak dapat menahan tekanan perasaannya. Dengan sebuah teksi dia pulang semula ke Kuala Lumpur. Hilmi terus berjalan mencari kerja. Dia menuju ke kios tempat jualan minyak. Dia tahu sekurang-kurangnya dia dapat menjadi pekerja sementara dengan gaji harian sebanyak dua ringgit setengah. Hilmi juga diberikan sebuah kanvas dan dibenarkan tidur bersama-sama dengan seorang penjaga malam.
Hilmi bekerja dengan rajin dan berdoa supaya pak cik atau mak ciknya jangan datang mengisi minyak di situ. Walau bagaimanapun, Hilmi telah terserempak dengan Mohsin. Mohsin telah menghasut tauke kedai minyak itu supaya membuang Hilmi tetapi tauke itu tidak mempedulikannya. Minggu pertama di bulan kedua bekerja di situ, Hilmi bertekad berjumpa semula dengan Encik Bakar. Dalam perjalanannya dia telah bertemu Pak Amat di kedai kopi. Kesempatan itu digunakan oleh Hilmi untuk bertanya khabar tentang Hayati. Dia amat sedih kerana Hayati kini sudah banyak berubah perangai dan dia tidak segembira dan senang dahulu lagi.
Sesampai Hilmi di rumah Encik Bakar, rumah itu seperti tiada penghuni. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Ketika di mahu berpatah balik, tiba-tiba sebuah jendelanya terbuka dan Azizah telah muncul dan terkejut dengan kehadiran Hilmi. Kedatangannya itu disambut dengan Hilmi. Hilmi menceritakan kisahnya kepada Encik Bakar dan hasratnya ingin menyambung belajar muzik dengannya. Encik Bakar tidak keberatan. Hilmi meminta izin pulang awal kerana telah berjanji dengan Ah Kong akan kembali sebelum pukul 7.00 malam untuk menggantikannya bekerja.
Hilmi diajar oleh Encik Bakar peringkat demi peringkat. Dia tidak sahaja belajar berbagai-bagai alat muzik tetapi juga diajar untuk mengenal lebih dekat tiap-tiap jenis alat itu. Hilmi sering diingatkan oleh Encik Bakar bahawa dia akan berjaya kerana mempunyai bakat. Hubungan Azizah dengan Hilmi juga semakin rapat. Setiap kali dia ke rumah Encik Bakar, Azizah selalu menyambutnya dengan mesra. Hilmi juga sudah mula kenal dengan not kerana menurut Encik Bakar untuk menjadi pemain muzik yang baik seseorang itu mesti tahu membaca not. Selain itu Hilmi telah belajar bermain trompet, seksofon, klarinet, dan biola.

Sinopsis Bab 10 - Bebas
Sejak Hilmi meninggalkan rumah pak ciknya, pokok-pokok bunga di taman Jepunnya yang dulunya menjadi kebanggaan kepada Datin Salmah dan Datuk Johari telah mulai musnah sedikit demi sedikit. Hayati pula seolah-olah ikut meratapi kehancuran taman bunga itu. Keadaan itu menyebabkan atin Salmah mendesak suaminya menulis surat ke kampung bertanyakan Hilmi, kalau benar Hilmi menggunakan sesuatu kuasa ghaib ke atas Hayati tetapi Datuk Johari menolak. Dia tahu isterinya itu telah terpengaruh dengan cakap-cakap morning coffee. Datin Salmah serba salah dengan keadaan Hayati. Hayati bukan lagi anak kecil yang dapat dipujuk dengan hadiah atau janji apabila dia menangis. Hayati sekarang sudah menjadi gadis remaja malah sudah bertunang. Ketika masuk ke bilik Hayati, dia terkejut kerana terjumpa buku agama dan lebih memeranjatkan lagi ialah sejadah dan telekung yang terlipat dengan baik di sudut biliknya. Anaknya itu sudah mula sembahyang. Dia keluar dari bilik itu dan menelefon suaminya. Perasaan ngeri mulai menguasai dirinya apabila dia mengetahui anaknya sembahyang setiap waktu sementara dia dan suaminya tidak sembahyang. Dia mula menyiasat dengan siapakah Hayati berkawan. Ketika suaminya pulang makan tengah hari dia terburu-buru menunjukkan buku-buku agama di bilik Hayati, tikar, dan telekung.
Hayati menyambut kepulangan Mohsin di lapangan terbang. Mohsin turut hairan melihat perubahan diri Hayati. Mohsin mengumumkan berita gembira iaitu dia hanya pulang sebentar sahaja dan akan berangkat lagi ke London kerana telah dilantik menjadi penolong pengurus di cawangan banknya yang baru sahaja dibuka di kota metropolitan Inggeris itu. Datin Salmah mencadangkan supaya perkahwinan antara Hayati dan Mohsin disegerakan. Cadangan itu tidak dibantah oleh Hayati, malah Hayati kelihatan terlalu gembira.
Berita perkahwinan Hayati dan Mohsin tersiar dalam semua surat khabar Melayu dan Inggeris. Hilmi terpegun ketika Azizah menunjukkan kepadanya berita perkahwinan itu. Hilmi memohon untuk beredar dan tidak ada mood untuk belajar muzik pada hari itu. Mamat pula datang ke biliknya membawa berita bahawa Hayati dan Mohsin akan berangkat ke England sebaik sahaja mereka pulang dan berbulan madu di Cameron Highland. Seminggu lamanya Hilmi berkurung di rumah. Habis kerja dia terus balik ke biliknya dan tidak keluar-keluar lagi. Penghuni di sebelah menyebelah biliknya itu hanya sering mendengar gesekan biola ataupun petikan gitar. Hari kelapan Hilmi pergi semula ke rumah Encik Bakar dengan memperlihatkan sebuah lagu yang telah dikarangkannya. Encik Bakar mencuba lagu itu di piano sambil dipindanya sedikit-sedikit. Hilmi memberi judul lagu itu “Sebuah Intermeso”. Hilmi berasa gembira kerana dia telah mengetahui bahawa dia mempunyai bakat bukan sahaja sebagai pemain muzik, tetapi juga sebagai penggubah lagu.

Sinopsis Bab 11 – Intermeso
Hilmi telah berhenti dari kios minyak petrol kerana akan menjadi anggota salah sebuah quartet yang terkenal di ibu kota. Encik Bakar telah mengambil Hilmi bermain di dalam quartetnya sebagai menggantikan tempat pemain biolanya yang kebetulan telah berpindah ke Pulau Pinang. Pertama kali berlatih Hilmi berasa gugup. Dia berasa mahu menarik diri sahaja daripada quartet tersebut tetapi atas dorongan Encik Bakar semangatnya pulih kembali. Hilmi memainkan lagu gubahannya “Sebuah Intermeso”. Seluruh hadirin terpesona dan terpegun. Hilmi telah diinterview ( ditemu ramah ) oleh pemberita hiburan dari sebuah surat khabar Inggeris yang terkemuka. Hasil interview itu telah disiarkan di dalam ruangan hiburan akbarnya pada hari yang berikutnya. Datuk Johari juga terpegun ketika melihat gambar Hilmi terpampang di ruangan hiburan surat khabar bertajuk “Penemuan Baru Abad ini Pemain Biola Hikmat Malaysia”.
Hayati tidur di rumah mak ciknya bersama Maimun. Maimun hairan dengan perubahan Hayati yang sudah sembahyang. Perbualan mereka berdua berkisar kepada Hilmi. Maimun tidak menyangka tukang kebun Hayati ada bakat muzik. Hati Hayati bergelodak kerana dia ingin menceritakan perkara sebenar bahawa Hilmi bukan tukang kebun. Daripada akhbar itu Hayati mendapat tahu Hilmi masih berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi seorang pemain muzik dalam quartet tetap di Hotel Titiwangsa. Cuma Hayati kesal kerana Mamat sering berdalih apabila ditanya tentang Hilmi.
Pada malam kedua, Encik Bakar mendesak Hilmi memainkan lagunya “Sebuah Intermeso” tanpa nyanyian. Seluruh hadirin terpesona. Kisah Hilmi mendapat perhatian Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar telah melanggar peraturan perlembagaan persatuannya. Semua pemain muzik di hotel dan kelab-kelab malam hendaklah terdiri daripada anggota-anggota persatuan itu yang sah. Encik Bakar telah menerima surat daripada Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional. Encik Bakar menganggap itulah masa yang paling malang sekali dalam hidupnya. Dia bukan tidak sedar tentang hal ini, tetapi keadaan terdesak. Pemain biolanya tiba-tiba berhenti. Encik Bakar mengumpul semua ahli kumpulannya kecuali Hilmi untuk berbincang. Akhirnya mereka sebulat suara menyokong kemasukan Hilmi dalam kumpulan mereka. Hilmi kemudian diberitahu tentang krisis yang terjadi dan tentang keputusan mesyuarat itu. Walaupun keputusan itu dicapai sebulat suara, tetapi meninggalkan kesan yang parah dalam hati Hilmi. Dia berasa kesal kerana menjadi sebab Encik Bakar diancam oleh persatuannya. Walau bagaimanapun pada malam itu mereka bermain seperti biasa.
Seminggu sesudah itu, Encik Bakar telah dipanggil oleh Jawatankuasa Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional untuk menghadapi tuduhan melanggar tatatertib persatuan dan melanggar arahan setiausaha. Tiga jam lamanya ahli jawatankuasa persatuan itu membuat persidangan tertutup. Encik Bakar disuruh menunggu di luar bilik persidangan. Keputusan mesyuarat akhirnya memaafkan Encik Bakar kerana mengenangkan jasa-jasanya terhadap persatuan tersebut dan menerima keahlian Hilmi.


Sinopsis Bab 12 - Krisis

Hilmi gelisah kerana Encik Bakar belum pulang dan Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional dan dia tidak dibenarkan hadir sama dalam mesyuarat tersebut. Keyakinan Hilmi pulih setelah ibu Azizah menasihatinya supaya bertenang kerana dia percaya suaminya tidak akan diapa-apakan. Encik Bakar seorang yang jujur dan dia tidak akan dipecat. Kepulangan Azizah membawa berita tentang Hayati mendapat biasiswa dari British Council untuk belajar muzik di Conservatory of Music selama dua tahun dan akan berangkat esoknya. Hilmi tergesa-gesa pulang. Semasa Hilmi keluar, Encik Bakar pun sampai bersama-sama dengan Rahmat dan Harry Lam. Melihat Hilmi tidak ada di situ, Rahmat dan Harry Lam pun meminta diri pulang ke rumah.
Pada malam itu, ada dua penerbangan ke London. Satu kapal terbang British Airways dan satu lagi Qantas yang datang dari Sydney. Sekiranya Hilmi pergi ke lapangan terbang pada waktu itu bererti dia tidak dapat ikut bermain dalam orkestra Encik Bakar. Fikirannya terlalu runsing. Akhirnya dia pulang ke bilik. Di pintu biliknya ada sekeping surat yang ditinggalkan oleh Mamat menyatakan dia barangkali akan datang pada pukul tujuh malam dan ingin membawa Hilmi berjumpa Hayati. Di dalam pertemuan itu Hayati menyatakan bahawa dia amat mencintai Hilmi tetapi dia tidak mahu membantah kata orang tuanya dan terpaksa berkahwin dengan Mohsin. Mohsin juga tahu akan pertemuannya dengan Hilmi. Hayati juga menyatakan bahawa lagu “Sebuah Intermeso” itu menjadi ubat yang paling mujarab bila hatinya luka. Kaset lagu itu dibawanya di dalam beg ke mana sahaja dia pergi. Hayati juga meminta Hilmi memaafkan ibu dan bapanya kerana tindakan dan kelakuan mereka terhadapnya dahulu.
Encik Bakar pula gelisah kerana Hilmi belum muncul-muncul. Setelah kemunculan Hilmi, Encik Bakar memberikan resit sebagai bukti dia telah menjadi pemain muzik profesional yang sah. Pada malam itu, permainan yang luar biasa telah diperlihatkan oleh Hilmi. Ketika jam berdeting pukul 12.40 malam jantungnya ikut berdetak kuat kerana pada saat itu pesawat yang dinaiki oleh Hayati terbang meninggalkannya. Pada malam perpisahan itu Hilmi telah berjaya menggubah sebuah lagu yang lahir dari perpisahan dengan Hayati dan diberi judul “Perpisahan”. Encik Bakar juga telah memberikan petua-petua bagaimana cara menggubah lagu yang baik dan menasihati Hilmi supaya mengarang beberapa buah lagu lagi dan lagu-lagunya itu disimpan dahulu. Apabila telah banyak dan sudah cukup barulah dirakamkan menjadi rekod.
Pengaruh gitar rancak dan Barat telah mulai melanda ke negara ini. Hilmi telah mendapat keizinan Encik Bakar untuk menubuhkan kugiran yang diberi nama “Kugiran Dahlia” ringkasan nama Daniel, Azizah, Hilmi, Tony Lim, Dan Arasu. “Kugiran Dahlia” dengan cepat mendapat popularitinya. Hilmi banyak menggubah lagu untuk dinyanyikan oleh Azizah dan nama Azizah mulai terkenal. Perhubungan mereka semakin erat. Apabila gelombang kugiran mulai merosot, Hilmi kembali bergiat dalam orkestra yang bermain di kelab-kelab malam. Walaupun rekod dan kaset yang mengandungi lagu-lagu gubahannya sudah banyak terjual tetapi sebagai penggubah lagu dia tidak pernah mendapat hasil yang lumayan malah berdepan pula dengan masalah cetak rompak.
Setelah setahun lebih bergaul rapat, dia dan Azizah diijabkabulkan sebagai suami isteri. Pada mulanya kehidupan mereka sebagai suami isteri amat harmoni tetapi kira-kira setahun setelah anak lelaki mereka yang pertama lahir, Azizah mulai berubah dan Hilmi juga ikut berubah. Rumah tangga mereka mula goyah. Kepedihan yang dirasai dari penghidupan itu menyebabkan Hilmi banyak berfikir dan telah mendatangkan ilham untuknya menggubah lagu. Sebahagian besar lagu-lagu yang digubahnya tidak ditunjukkan kepada orang lain, walaupun kepada Encik Bakar.

Sinopsis Bab 13 – Perpecahan
Keretakan yang terjadi dalam rumah tangga Hilmi telah tidak dapat diselamatkan lagi. Encik Bakar dan isterinya, walaupun pada mulanya tidak mahu campur tangan kerana itu urusan rumah tangga mereka terpaksa memanggil kedua-duanya kerana keadaan semakin buruk. Tetapi pertemuan itu tidak membawa apa-apa hasil. Persengketaan antara mereka tidak boleh diatasi malah Azizah mengajar anaknya memanggil Hilmi dengan panggilan “bapa jahat”. Azizah cemburu kerana pada anggapannya beberapa buah lagu yang telah digubah khas oleh Hilmi adalah untuk Hayati. Sedangkan dia tidak mengetahui Hilmi juga pernah menggubah lagu tentang cinta dan sayangnya kepada isteri dan anaknya dalam lagu “Balada Kasih”.Lagu itu ialah curahan isi hatinya yang jujur. Kini hidupnya terasa kesunyian yang amat sangat. Dia sering menyembunyikan kesedihannya daripada kawan-kawannya. Dia terus menghiburkan orang-orang yang datang mencari hiburan di tempatnya bermain muzik. Dia juga tetap menggubah lagu. Sekali sekala dia teringatkan Hayati. Tragedi yang menimpanya menyebabkan dia mencipta sebuah lagu yang diberi tajuk “Cinta dan Tangis”. Lagu “Cinta dan Tangis” menjadi inspirasi kepadanya untuk menggubah lagu-lagu lain dan menulis sendiri sari katanya. Dia mulai terasa bahawa menggubah lagu-lagu itu sebagai satu misi yang telah ditugaskan oleh Tuhan kepadanya biarpun terpaksa bekerja keras siang dan malam tetapi hatinya senang dan tenteram. Harapan untuk kembali dengan Azizah telah pudar. Walau bagaimanapun dia belum berniat untuk menceraikan Azizah kerana Azizah sendiri tidak pernah memintanya. Setiap malam sebaik sahaja pulang dari tempatnya bekerja, Hilmi akan duduk di hadapan pianonya menggubah lagu-lagu baru. Kalau ilhamnya tidak ada dia akan memainkan rekod. Lagu-lagu yang telah digubahnya kini berjumlah ratusan buah.
Orkes Hilmi telah mendapat undangan untuk bermain dalam pertunjukan Hari Keputeraan Sultan Kelantan di Kelantan. Hilmi mendapat sambutan yang luar biasa. Peminat-peminatnya telah menyerbunya. Kira-kira jam empat pagi, Hilmi dikejutkan dengan panggilan telefon dari Rahmat tentang kematian Encik Bakar. Hilmi menaiki kapal terbang MAS pulang ke Kuala Lumpur. Dalam penerbangan tersebut dia telah selesai menyiapkan sebuah lagu yang diberi nama “Seniman” yang dicipta khas untuk Encik Bakar iaitu guru, kawan, dan bapa mertuanya.
Tiga tahun berturut-turut Hilmi muncul sebagai pemenang dalam pesta muzik tahunan yang dianjurkan oleh RTM. Hilmi telah diberi penghormatan untuk memimpin satu pertunjukan Orkes Perdana yang dianjurkan oleh RTM. Pertunjukan itu sama tarafnya dengan Royal Performance ( persembahan di-Raja ) yang diadakan di England. Hilmi diminta untuk membuat arrangement (penyusunan) semua lagunya dan diberi nama “Hilmi Potpouri”. Publisiti (berita) tentang pertunjukan itu tersebar luas. Bukan sahaja melalui RTM, tetapi juga melalui media massa di seluruh negara. Datin Salmah juga telah mendesak Datuk Johari mencari kad jemputan pertunjukan Orkes Perdana itu kerana saudaranya iaitu Datin Mastura (kakak), dan Datuk Roslan (abang ipar), Datin Maniam (kakak), dan seluruh geng morning coffee telah bercadang untuk menontonnya.

Sinopsis Bab 14 – Seniman
Dewan Tunku Canselor telah penuh sesak. Keadaan kalut mulai terasa apabila Hilmi belum kelihatan. Ketua Pengarah RTM mengarahkan Amat, seorang pengawal RTM pergi menjemput Hilmi tetapi Hilmi tidak ada di rumahnya. Ketua Pengarah itu tidak puas hati lalu mengajak Amat sekali lagi bersama-samanya pergi ke rumah Hilmi Dan akhirnya mereka mendapat tahu daripada seorang pemuda Cina bahawa Hilmi sakit dan dimasukkan ke hospital. Ketua Pengarah berkejar ke hospital dan dia mendapati keadaan Hilmi dalam bahaya dan telah dibawa ke unit rawatan rapi ( ICU ). Doktor juga telah memberitahu bahawa nyawa Hilmi terancam dan dia tidak mungkin dapat memimpin Orkes Perdana. Ketua Pengarah telah mengarahkan Borhan supaya mencari pengganti Hilmi dan kembali ke universiti. Kebimbangannya itu dikongsi bersama oleh Timbalan Menteri dan Ketua Setiausaha. Tiba-tiba muncul Hayati, wanita yang ingin menonton pertunjukan tersebut. Keadaan menjadi semakin kelam kabut. Berbagai-bagai spekulasi telah dibuat kerana ketiadaan Hilmi itu. Hayati mendapat tahu tentang kesakitan yang dialami oleh Hilmi dan berminat untuk membantu Hilmi memimpin pertunjukan tersebut. Setelah menunjukkan bukti kelulusan dan pengalamannya serta hubungan rapat dengan Hilmi, akhirnya ketua pengarah membenarkan Hayati memimpin Orkes Perdana tersebut.
Datuk Johari dan Datin Salmah menyesali perbuatan mereka terhadap Hilmi, lebih-lebih lagi apabila mendengar puji-pujian yang diberikan kepada Hilmi oleh penonton. Mereka juga menyedari yang memimpin pertunjukan orkes itu ialah Hayati. Baginda Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Perdana Menteri amat terhibur dengan persembahan itu dan dukacita di atas kemalangan yang menimpa Hilmi. Setelah pertunjukan selesai Hayati bergegas ke hospital, begitu juga Datuk Johari dan Datin Salmah apabila mengetahui perkhabaran tersebut. Di hospital, Datuk Johari telah bertemu dengan abang sepupunya iaitu bapa Hilmi yang baru sampai dari kampung. Suasana menjadi bertambah pilu dengan kehadiran Azizah, ibunya serta Hakim, anak Hilmi.
Abang sepupunya itu kemudian menceritakan kepada Datuk Johari dan Datin Salmah bahawa Hilmi selalu memuji kebaikan pak cik dan mak ciknya itu. Akhirnya abang sepupunya iaitu Karim akhirnya membongkar rahsia bahawa Hilmi sebenarnya anak kandung Datuk Johari. Dia sengaja menyimpan rahsia itu kerana tidak mahu merosakkan rumah tangga mereka. Datuk Johari dan Datin Salmah amat menyesal dan akan menebus dosa mereka sekiranya Hilmi pulih. Setelah doktor yang merawat Hilmi membenarkan mereka melawat Hilmi, mereka pulang ke rumah Datuk Johari. Karim bersyukur kerana Allah memanjangkan usianya dan dapat membuka rahsia yang terpendam di hati selama ini. Sesampai sahaja di pekarangan rumah, mereka dikejutkan dengan panggilan telefon dari hospital. Datuk Johari telah menerima khabar tentang kematian Hilmi dan pada saat yang sama Datuk Johari jatuh terjelepok di atas lantai dan pergi buat selama-lamanya.

Sunday, April 8, 2012

Sinopsis KUNTUM PERDAMAIAN



Cerpen: Kumtum perdamaian
Oleh: Azmah bt. Nordin

Sinopsis

Doktor Khadijah yang berpakaian seragam lusuh berwarna hijau muda terus mencuci tangannya dengan sabun antiseptik berulang kali, biarpun jari-jemarinya semakin kembang. Beliau sengaja tidak menutup paip, walaupun dia sedar catuan air perlu diambil kira kerana dia tidak sanggup mendengar perbualan orang tentang Atiqah di dalam bilik bedah. Dr. Khadijah yang berusia awal tiga puluhan masih berdiri di singki usang walaupun menyedari bahawa dia akan menjalankan satu pembedahan pemindahan organ buah pinggang Atiqah kepada Mahmoud Noor, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mengalami jangkitan kuman erterusan pada buah pinggangnya sejak kecil lagi.
          Sejak berkhidmat selama 5 bulan yang lepas sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah di bumi teluk, Dr. Khadijah tidak menyangka akan dipertemukan semula dengan Atiqah dalam keadaan tubuh yang terbujur lesu dan bernyawa-nyawa ikan itu. Dia masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan  Atiqah ialah 4 bulan yang lalu. Atiqah mengamuk kerana tidak mahu alat bantuan pernafasan ibunya ditanggalkan. Dr. Khadijah cuba menerangkan agar Atiqah faham masalah di hospital itu yang mana pesakit lain memerlukan alat bantuan pernafasan sedangkan ibunya masih tidak ada apa-apa perubahan. Dengan mata yang galak dan bengis, Atiqah mengugut akan membunuh sesiapa sahaja yang cuba mengambil alat bantuan pernafasan ibunya. Oleh itu, Dr. Abdullah El-Ahmed memberi masa seminggu lagi kepada ibu Atiqah menggunakan alat bantuan pernafasan itu.
             Beberapa hari selepas peristiwa itu, Atiqah tidak jemu-jemu merayu ibunya bangun untuk membuktikan kepada kakitangan hospital bahawa ibunya berpeluang untuk sembuh dan pada setiap hari Atiqah memberikan sekuntum bunga merah yang disematkan di celah rambut ibunya. Ibu Atiqah mula menunjukkan tindak balas dan segera diberi pertolongan kecemasan oleh Dr. Khadijah dan pembantu-pembantunya. Keesokan malamnya, Atiqah mewletakkan sekuntum bunga merah di atas meja Dr. Khadijah sebagai tanda perdamaian antara dirinya dengan Dr. Khadijah.
              Detik pertemuan Atiqah dengan Dr. Khadijah sebenarnya bermula pada beberapa bulan yang lalu. Atiqah seorang gadis kecil yang periang sering datang ke hospital, biarpun kehadirannya melanggar peraturan hospital untuk melawat ibunya yang sedang nazak akibat terhumban ke tanah dari lori minyak yang di pandu oleh ayahnya.
              Ketika melawat ibunya, Atiqah sering membawa sekuntum bunga merah dan diselitkan di celah-celah rambut ibunya sambil merayu ibunya agar bercakap dengannya sambil mengucup ibunya berkali-kali. Melihat kasih sayang Atiqah itu, mengingatkan Dr. Khadijah kepada ibunya yang berketurunan Idaan, tentang kepercayaan bahawa nenek moyang mereka berasal dari Nunuk Ragang di hulu Labuk dalam daerah Ranau dan juga terbayang bentuk pohon ara berbunga merah yang dipercayai mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kini keadaan Atiqah sudah berbeza. Dia mengalami kecederaan yang teruk. Dr. Abdullah El-Ahmed memberitahu bahawa Atiqah yang mengalami kecederaan teruk di kepala tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi dan mencadangkan buah pinggang Atiqah didermakan kepada orang lain yang memerlukan.
             Ibu Atiqah bersetuju dan menganggap bahawa itu adalah tindakan yang wajar dilakukan kerana menurutnya Atiqah seorang penyayang. Dia sentiasa mahu memberi kasihnya kepada orang lain. Namun begitu, suara halus naluri Dr. Khadijah membantah tindakan pemindahan organ buah pinggang Atiqah itu kerana dia tidak mahu jasad gadis kecil itu disakiti lagi, tetapi suaranya tersekat di kerongkongnya. Akhirnya dengan himpunan seluruh kekuatannya dan dalam kengiluan, Dr. Khadijah melaksanakan tanggungjawabnya menjalankan pembedahan pemindahan buah pinggang dengan dibantu oleh Dr. Abdullah El-Ahmaed kerana mereka hanya mempunyai 48 jam untuk melakukan pembedahan tersebut.
              Pada suatu senja yang hening, ketika Dr. Khadijah sedang berehat setelah keletihan menjalankan tugas sehariannya, Dr. Abdullah El-Ahmed membawa seorang tetamu yang istimewa bertemu dengan Dr. Khadijah. Tetamu itu ialah kanak-kanak lelaki yang menerima organ buah pinggang daripada Atiqah. Kanak-kanak itu mengucapkan terima kasih kepada Dr. Khadijah dan menghulurkan sekuntum bunga merah yang membawanya kepada Dr. Khadijah. Tiba-tiba Dr. Khadijah merasakan perjuangannya di bumi Teluk tidak sia-sia.

        (dipetik daripada: Mutiara Sastera Melayu Moden STPM oleh: Ab. Rahman Ab. Rashid, Rahim Ngahat dan Mohamad Mokhtar Hassan).


citer nie memang best...setiap kali ak baca mesti mengalir air mata,dan kerana citer nie ak mula bljr wt citer sedih..

Mengena Terkena by AISHAH

 Hafiz meneguk kopi susu yang masih berasap di atas meja. Lelaki berusia 25 tahun itu asyik sekali merenung meja kayu Pak Leman, pengusaha kedai kopi di Kampung Seri Melaka. Mata Hafiz tertancap pada semut-semut yang berjalan dalam satu barisan lurus. Entah apalah rezeki kumpulan semut itu pada hari ini. Mungkinkah biskut ataupun gula yang tertumpah? 

  Hari masih awal, belum mencecah jam 9 pagi. Sementelah lagi kalau dikira pada hari minggu begini. Seingat Hafiz, jarang benar dia bangun jam 7 pagi di kota. Lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Kali ini, semua itu bakal berubah. 

  Kemerosotan ekonomi membuatkan Hafiz memilih untuk diberhentikan daripada pekerjaanya sebagai seorang akauntan. Eloklah kerana diapun sudah penat dan ingin melarikan diri seketika daripada kesibukan hidup di kota. Tempat yang paling sesuai tentulah kampungnya sendiri. 

  ‘ Abang Ngah betul ke nak duduk kampung?’ Azira bertanya saat Hafiz menyampaikan khabar yang dia ingin pulang ke kampung. 

  ‘ Betullah. Kenapa?’ 

  ‘ Kenapa Abang Ngah? Tak seronok ke duduk KL?’ emosi yang dikesan pada rendah-tinggi suara Azira bercampur-baur. Ada terkejut, gembira, teruja dan selebihnya rasa ingin tahu. 

  Entah mengapa begitu ramai yang merasakan kehidupan di kota yang serba mencabar seperti Kuala Lumpur menyeronokkan. Kalaulah mereka tahu tentang cabaran, sisi gelap dan wajah sebenar kota itu, semestinya mereka kecewa. Cerita di kota besar tidak seindah lampu neon yang tetap setia menyinari segenap pelusuk kota. Lebih banyak cerita duka dan derita berbanding ketawa. 

  ‘ Assalamualaikum,’ sapaan salam mengejutkan Hafiz dari lamunannya. Sesusuk tubuh yang mengenakan baju kemeja rona coklat duduk di depannya. 

  ‘ Eh Abang Samad,’ Hafiz bangkit dari duduk lalu disambutnya tangan lelaki di depannya yang sedang tersenyum, memaparkan barisan gigi yang putih. Sudah lama Hafiz tidak bertemu dengan Samad, tukang kebun di sekolah yang berdekatan. 
  
  ‘ Nak ke mana ni bang?’ mata Hafiz meliar memerhatikan pakaian Samad. Berseluar khaki dengan jaket, seolah-olah ingin berburu. 

  ‘ Ni ha..’ Samad melabuhkan punggung ke atas kerusi kayu di warung Pak Leman yang sudah usang ditelan waktu, ‘ nak ke hutan. Nak memburu ayam hutan. Bang, kopi susu satu!’ laung Samad kepada Pak Leman. 

  Ayam hutan?

  ‘ Untuk apa bang?’ tanya Hafiz termangu-mangu. Seingatnya, bukan tradisi di kampung ini untuk pergi berburu ayam hutan. 

  ‘ Siti…anak aku yang nombor tiga tu nak periksa PMR bulan depan. Ayam tu untuk hantar ke Wak Jalil, minta dia jampikan supaya lulus si Siti tu,’ ujar Samad dengan wajah yang begitu serius. 

  Hafiz serba-salah. Dia tidak pasti samada hendak tertawa atau didiamkan sahaja. Bomoh? Minta bomoh jampikan anak lulus peperiksaan? Pada tahun 2009? Hafiz tersilap dengarkah atau memang ini terjadi? Adakah Wak Jalil sebenarnya sudah buka pusat tuisyen di kampung ini? 

  Bagi menyorokkan senyum yang beraja di wajah, Hafiz meneguk lagi air yang masih berasap. Beginilah orang kita, masih lagi taksub dengan bomoh. Yang sedihnya, bukan hanya terhad kepada satu bangsa sahaja. Kelihatan seolah-olah semua kaum masih begitu taksub dengan perkara-perkara yang berunsurkan mistik. 

  Sebelum Hafiz meletakkan jawatan, dia sudah mendengar cerita sebegini. Cuma, kes yang didengar Hafiz itu berkisar mengenai kes perceraian. Seorang rakan bernama Adam sedang bersungguh-sungguh mencari bomoh, mahu rebut kembali isteri yang sudah nekad mahu minta cerai. 

  ‘ Kau tak kenal ke mana-mana bomoh Hafiz?’ Adam bertanya dengan wajah terkandung kerisauan. 

  ‘ Err…,’ gagap Hafiz jadinya. 

  ‘ Aku nak 'tengok' la bini aku tu. Aku rasa dia ni dibuat orang, takkanlah tiba-tiba saja dia nak minta cerai?’ bertambah lagi kerut di dahi Adam. 

  Begitulah manusia. Tak pernah mahu menilik kesalahan sendiri. Hafiz tak salahkan isteri Adam, Salina kerana mahu minta cerai. Siapa tahan kalau suami tukar kerja seperti tukar baju? Bukan Adam yang sibuk mencari rezeki, Salinalah yang menggalas tugas sebagai pemberi nafkah dalam rumah itu. Adam pula, sering keputusan duit.  

 Tiba-tiba, Samad berdehem. Terkejut Hafiz, hampir sahaja cawan di atas meja tertolak ke lantai. 

  ‘ Aku bukan apa. Siti tu keputusannya bagus. Kalau boleh, aku nak dia belajar tinggi-tinggi. Macam kamu.’ 

  Hati Hafiz jadi sayu. Murni niat Samad tetapi niat tidak menghalalkan cara. 

  ‘ Kamu pula, nak ke mana Hafiz?’ 

  ‘ Tak ke mana-mana. Saja nak jalan keliling kampung.’ 

  ‘ Lama kamu cuti?’ mata Samad tajam menatap wajah Hafiz. Serba-salah jadinya pemuda itu. Perlukah Hafiz berterus-terang tentang kedudukannya atau diamkan sahaja?

  ‘ Cuti panjang, bang. Saya dah berhenti kerja,’ ujar Hafiz tersengih-sengih. Ah, apa sangat yang nak dimalukan. Eloklah jujur daripada memakan diri di kemudian hari. 

  Samad cuma tersenyum penuh makna. Sudah ramai anak muda di Kampung Seri Melaka yang berhijrah ke bandar. Ada yang menjadi, ada yang pulang semula ke kampung dengan penuh kekecewaan. Tidak semua yang pergi berjaya membawa cerita kejayaan. Lagi-lagi pula dengan keadaan ekonomi yang begini. 

  ‘ Ekonomi tak elok ni Hafiz. Aku tau.’ 

  Hafiz tersengih. Jangan kata orang kampung tidak baca suratkhabar. 

  ‘ Aku pergi dulu la Hafiz. Ada berjanji dengan orang ni,’ Samad menghirup kopi susu yang masih bersisa. 

  ‘ Yelah bang. Jalan baik-baik.’ 

  Lama Hafiz mematung di warung Pak Leman. Macam-macam yang bermain di fikiran Hafiz. Sepanjang tiga hari Hafiz di kampung, surau sentiasa sahaja meriah. Tetapi, mengapa budaya mengunjungi bomoh ini masih subur? 

  Semasa arwah ayah Hafiz masih hidup, selalu juga arwah merungut tentang bagaimana penduduk kampung begitu percaya dengan bomoh. Kalau anak demam sedikit, dibawa jumpa bomoh. Yang ingin menghadiri temuduga juga begitu. Hafiz pasti banyak belanja yang perlu dikeluarkan oleh Wak Jalil untuk menggantikan tangga setiap tahun. Bayangkan betapa sibuknya keadaan di rumah Wak Jalil bila tiba musim peperiksaan. Patutlah gigi emas Wak Jalil sudah bertambah daripada satu menjadi empat. 

  Rata-rata penduduk kampung mengatakan yang itu adalah usaha mereka. Lagipun, bomoh di Kampung Sri Melaka dibantu oleh jin Islam. Pasti tiada salahnya, tambah para penduduk kampung. 

  Hafiz bingung mendengar hujah-hujah melibatkan jin Islam. Sekalipun jin yang digunakan didakwa beragama Islam, bagaimana pula dengan kenyataan yang sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia? Pening Hafiz jadinya bila perkara berunsurkan tahyul dan soal agama sudah bercampur-aduk. 

  Yang lebih membingungkan Hafiz bila dilihat ahli baru dalam keluarga, Malik juga begitu gemar mengunjungi bomoh. Malah, Malik menggunakan khidmat bomoh untuk menetapkan tarikh nikah dengan Hamizah, kakak Hafiz. 

  ‘ Kalau ayah masih ada, mesti dia tak setuju.’

  ‘ Kamu ke tu Hafiz?’ terdengar suara emak dari arah dapur. Ah, Hafiz bercakap seorang diri pula. Entah dari mana dia sudah mula bercakap sendiri. Jangan-jangan, sepanjang perjalanan pulang ke rumah. 

                                                                           *    *    * 

    Hafiz sungguh tidak senang duduk. Malam ini, baru Hafiz terlihat tangkal yang melilit tengkuk Malik, tangkal besar yang menjadi sebutan Azira. Tidak perlulah ditanya apa yang ada di dalam balutan kain hitam di leher Malik kerana Hafiz tidak mahu tahu. Entah-entah, Malik sendiri pun tidak tahu apa kandungan tangkal di lehernya. 

  Selepas sahaja makan malam, pantas sahaja Hafiz keluar. Tidak tahan rasanya melihat Malik dan tangkalnya. Mahu sahaja Hafiz menerkam Malik di situ juga, bersoal-jawab tentang perihal tangkal tetapi pasti cara itu tidak akan berjaya. Teringat kata-kata arwah ayah yang mengingatkan supaya sentiasa cuba menegur dan mencari penyelesaian secara bijak. 

  ‘ Ibarat menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak.’ 

  Hafiz mesti cari akal. Kalau tidak dapat menukar pendirian seluruh kampung, biar sahaja Hafiz bermula dengan keluarganya sendiri. 

                                                                    *    *    *

  Semakin hari, Hafiz semakin terbiasa duduk berehat di warung Pak Leman. Bukanlah melepak tidak tentu hala cuma di warung itulah tempat Hafiz melepaskan lelah selepas seharian di kebun ataupun selepas sudah solat Isya’. 

  Apa yang dapat Hafiz perhatikan, Malik sering sahaja bercerita tentang kehebatan bomoh-bomoh yang dikenalinya di warung Pak Leman. Ada sahaja cerita yang dijaja. Contohnya, kebun yang subur dek usaha ‘memagar’ oleh bomoh ini, kehebatan bomoh yang satu ini pula yang dapat ‘membedah-siasat’ apa sahaja masalah atau bagaimana bomoh yang lain pula tidak pernah gagal menyatukan pasangan yang sudah bercerai. Itu belum lagi cerita tentang budak sekolah yang dahulunya tidak bijak, kini sudah jadi pelajar cemerlang. Semuanya kerana jampi-serapah bomoh. 

  Terlopong juga Hafiz mendengar cerita-cerita Malik. Bukan kerana percaya tetapi boleh dikatakan semua cerita Malik mempunyai jalan cerita yang cukup menarik. Penuh dengan mimpi-mimpi indah belaka. 

  Sedikit-sebanyak, Hafiz perasan yang Hamizah sudah turut terikut-ikut akan perangai Malik. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Hamizah yang sedang mengandung. Dua hari lepas ketika Hafiz ke rumah Hamizah, kelihatan tubuh kakaknya itu dihiasi dengan pelbagai ‘perhiasan’. Di lengan Hamizah, terikat tangkal merah. Yang di leher pula, yang berwarna hitam. 

  ‘ Untuk keselamatan anak kami,’ jelas Hamizah dengan ceria. 

  ‘ Tak boleh jadi. Aku mesti buat sesuatu.’ Hafiz sudah tekad. 

  Hafiz tidak perlu menunggu lama apabila Malik perlu pulang ke kampung sempena kenduri adiknya ingin bertunang. Hamizah pula tidak dibenarkan turut serta kerana risau tentang kandungan yang baru berusia 4 bulan. Maka, Hafiz pun menginap di rumah kakaknya itu. 

  Semuanya berjalan seperti biasa. Semua aktiviti harian tidak sedikit pun berubah. Hamizah tidak banyak kerenah tetapi itu tidak bermakna Hafiz boleh lepas tangan. Apa sahaja yang boleh dilakukan Hafiz, dia akan membantu. Kalau boleh, Hafiz tidak mahu apa-apa pun terjadi pada Hamizah kerana dia sangat gembira. Bayi dalam kandungan Hamizah bakal menjadi anak saudara Hafiz yang pertama, juga cucu sulung dalam keluarga ini. Itulah yang membuatkan Hafiz begitu teruja. Orang tiada zuriat sendiri begitulah, tumpang gembira zuriat orang lain. 

  Hamizah hanya tersenyum melihatkan Hafiz yang kelihatan begitu bersungguh-sungguh membantu kerja rumah. Sepanjang tiga hari Hafiz di rumah, ada sahaja yang ingin dibantu. Kadang-kala hingga lemas Hamizah dibuatnya. 

  ‘ Duduklah dulu, Hafiz. Tak penat ke kamu?’ Hamizah menyapa sambil tangannya rancak menggoreng cucur untuk sarapan pagi. Cucur adalah makanan kegemaran Malik dan mengikut perkiraan, dia akan sampai petang ini. Hamizah mengingatkan diri sendiri supaya tidak menghabiskan tepung untuk cucur. 
 
  ‘ Eh tak apalah kak. Saya nak menyapu sikit saja ni.’ 

  ‘ Hish, yang itu kakak boleh buat sendiri. Bukannya berat pun. Kakak ni mengandung Hafiz, bukannya dah jadi OKU,’ usik Hamizah. Hafiz hanya tertawa. 

  ‘ Ha lupa pula kakak. Tak ada pula kakak lipat baju kamu. Kamu dah simpan siap-siap ye?’ mata bundar Hamizah mencerlung ke arah Hafiz. 

  Tangan Hafiz yang memegang batang penyapu, terhenti. Dia tidak mahu menipu. 

 ‘ Abang Malik balik bila kak?’ 

 ‘ Hari ini rasanya. Hari ini hari Khamis kan?’ Hamizah mencedok tepung di dalam bekas plastik ke dalam kuali. 

  ‘ Ye kak.’ Lega hati Hafiz. Mujur Hamizah tak perasan tindakan Hafiz yang sengaja mengubah topik perbualan. 

                                                                              *    *    * 

  Seperti yang dijangkakan, Malik pulang pada petang hari yang sama. Malik kelihatan penat tetapi digagahkan juga untuk berbual dengan Hafiz. 

  ‘ Terima kasihlah Hafiz, temankan kakak kamu,’ ujar Malik sambil mengambil cucur di bawah tudung saji. Hamizah menggoreng cucur awal petang sedangkan Malik tiba hampir jam 6. Malik tidak berkira sangat kalau makanan yang dihidangkan sudah sejuk. Asal ada kudapan, sudah lebih daripada cukup untuk Malik. 

  ‘ Bukan orang lain, bang. Kakak saya juga. Macam mana kenduri di sana?’ Hafiz sengaja berbasa-basi. 

  Hamizah pula sudah hilang dari dapur. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan akan bungkusan yang diserahkan oleh Wak Jalil ketika ketiadaan Malik. Diam-diam dia melangkah ke bilik yang sedang diduduki Hafiz untuk mengambil pemberian Wak Jalil. Dibiarkan sahaja Malik berbual dengan Hafiz malah Hamizah sendiri tidak ambil kisah sangat tentang perbualan mereka. Apa sangatlah yang difahami Hamizah tentang dunia lelaki. 

  Pantas sahaja kaki Hamizah ke bilik Hafiz. Biarlah dia cari sendiri bungkusan itu, malas mahu mengganggu Hafiz. 

  Pelik juga Hamizah bila bilik yang didiami Hafiz tertutup rapat. Hamizah dan Malik selalunya membiarkan sahaja pintu bilik ini renggang untuk pengudaraan. Berbau bilik jadinya kalau sering tertutup. Dikuaknya pintu sedikit dan tiba-tiba Hamizah sesak nafas. Alangkah terkejutnya dia bila dijenguk ke dalam bilik Hafiz. 

  ‘ Hafiz!’ langsing suara Hamizah melaung nama adiknya yang seorang itu. 

  Hafiz tersenyum. Malik pula tersedak. Tidak pernah didengarkanya suara Hamizah langsing begitu. 

  ‘ Kak?’ Hafiz berlagak tidak tahu. Pantas sahaja kaki Hafiz melangkah ke ruang atas, ke bilik yang sedang didiami. Hamizah sedang bercekak pinggang di dalam bilik yang didiami Hafiz. 

  ‘ Budak bertuah. Kamu ni dah kenapa? Siapa yang ajar kamu jadi pengotor begini?’ 

  Hafiz memang tahu yang Hamizah tidak akan tahan dengan kotoran. Memang Hamizah sangat tidak suka kalau seseorang itu pengotor. Biar berbaju lusuh tetapi tidak sekali-kali kotor. Yang paling membuat darah Hamizah menyirap kalau adik-adiknya berbau. Itu memang tabiat Hamizah sejak kecil lagi. 

  ‘ Kenapa kak?’ Hafiz masih lagi buat-buat bodoh. 

  ‘ Ish budak ni. Ni, kain baju kamu ni. Kenapa tak dibasuh? Patutlah kakak tak nampak satu pun baju kamu dalam baldi. Kenapa kamu longgok di sini?’ Wajah Hamizah sudah merah padam. 

  ‘ Alah kak. Rileks la. Bukan saya tak nak basuh. Tengok la kotoran di baju saya tu.’ 

  ‘ Ha tau pun. Bukan saja kotor, berbau lagi,’ Hamizah memegang seluar Hafiz dengan hujung jari sahaja. Terdapat bekas tanah yang sudah mengering pada seluar Hafiz. Masih jelas di ingatan Hafiz bagaimana dia sengaja henyakkan punggung pada lumpur untuk dapatkan kesan yang begitu. 

  ‘ Tiga hari kamu di sini, sehelaipun baju kamu tak kamu basuh?’ Hamizah masih tidak berhenti bertanya. Dia cuba mengawal kemarahan. Malik pula diam membisu di tepi pintu, tidak mahu melibatkan diri dalam permasalahan antara dua-beradik itu. 

  ‘ Dahlah tak dibasuh. Baju ke kebun dan baju biasa pun kamu campur?’ 

  Hafiz tersengih. 

  ‘ Apa yang kamu sengih-sengih tu?’ 

  Hafiz merasakan masanya sudah sampai. 

  ‘ Takdelah kak. Saya lihat teruk sangat kotoran di baju tu, saya rasa nak hantar pegi bomoh je,’ Hafiz menjawab dengan wajah selamba. 

  Hamizah tersenyap. Malik tersandar ke dinding. Tiba-tiba tawa meletus dari mulut pasangan suami isteri itu. Hafiz berpura-pura tidak faham. 

  ‘ Eh, kenapa ni?’

  ‘ Hafiz, mana ada orang hantar kain kotor pada bomoh?’ Malik mengesat air mata, terlalu asyik dia ketawa. 

  ‘ Entahnya Hafiz. Jangan mengarutlah,’ tambah Hamizah pula. 

  ‘ Kenapa pula kak? Wak Jalil kan ada macam-macam kebolehan?’ Hafiz sedang cuba sedaya-upaya  untuk tidak tersenyum. 

  ‘ Yelah, tapi Wak Jalil bukan pengusaha kedai dobi. Macam mana dia nak bersihkan baju kamu?’ kata Malik yang masih belum berhenti tertawa, 

  ‘ Eh kenapa pula tak boleh? Kalau Wak Jalil boleh buat pelajar sekolah lulus peperiksaan, takkanlah tak boleh dia jampi baju saya sampai bersih?’ 

  ‘ Merepek la kamu ni Hafiz. Dia tu bomoh, mana ada kuasa macam tu. Kalau nak bersih, kenalah basuh’ 

  Sebaik sahaja ayat itu keluar dari mulut Malik, lelaki itu terdiam. Hamizah memandang wajah suaminya sambil memegang tangkal di lengan kiri. Hafiz pula tersenyum sinis. 

  ‘ Jadi, dia tak ada kuasa begitu?’ ulang Hafiz, sengaja menabur garam ke atas luka yang sedia ada. ' Maksud abang, baju ini semua saya perlu bersihkan dengan usaha saya sendiri?' 
  
  Melihatkan Hamizah dan Malik yang diam seribu bahasa, Hafiz tahu perangkapnya sudah terkena.

Sepatutnya, Itu Aku by AISHAH


Dengan titis hujan, air mata turut turun berlinangan di pipi mulus Aisha. Sengaja dia berdiri di tengah hujan, kononnya mahu menikmati kesyahduan yang menebal di hati saat iu.
Perasaan ditimpa air hujan tidak membawa sebarang perubahan yang ketara pun. Tidak seperti yang selalu dihebohkan di dalam buku cerita cinta. Sejuk, basah dan menyusahkan. Hati Aisha tidak berubah menjadi lebih tenang. Sebaliknya, gadis itu terasa bodoh.
Diangkat kaki yang sudah lencun, sama seperti bahagian lain tubuhnya untuk kembali ke bilik.
Sakit, memang sakit. Luka yang tidak nampak di hati itu yang buatkan Aisha rasa sungguh terseksa. Luka yang tidak nampak pada bahagian yang tidak mempunyai urat, itu yang mendera.
Lebih payah lagi bila Aisha tidak mampu menangis. Entah, mungkin kerana namanya yang bermaksud 'kehidupan yang gembira' yang membuatkan dia begitu. Ataupun sebenarnya dia sudah malas.
Bukan sekali ini hatinya remuk dek cinta tetapi kali berbeza. Kerana ini sepatutnya yang terakhir di mana dia yang akan meninggalkan orang lain. Penyudah cerita cinta ini sepatutnya bukan begini.
Tombol pintu yang terasa sejuk di kulit, diputar perlahan. Sunyi yang memenuhi ruang pengap empat dinding itu didakap mesra oleh Aisha. Terasa kecil dan kerdil sekali berdiri di tengah-tengah ruang berwarna biru pastel. Dalam gelap yang memenuhi setiap inci rumah, Aisha terduduk di muka pintu. Dia ingin menangis, mahu dilepas semua beban yang dikandung di dalam kalbu. Atau hati? Entah, Aisha tidak tahu. Dia cuma sekadar mengikut, mengulang sahaja kata-kata yang sering diulang cetak di dalam novel cinta.
Dia pasrah. Dalam deras hujan yang menimpa bumi, dia berserah. Siapa sangka, Aisha yang sedang menghidap barah otak ditinggalkan Aman terlebih dahulu. Dan dia tidak pernah sangka bahawa perit di hati buat Aisha begini. Jelas, Aman curi hati Aisha sehingga tidak berbaki. Curi dan kini tidak mahu dipulangkan. Bukan, tidak mampu untuk dipulangkan. 
Tanpa mengangkat kepala, Aisha lihat sepasang sepatu milik Aman di depan matanya. Aman yang baru sahaja dikebumikan pagi tadi, berdiri di depan Aisha. Wajah pucat beserta darah pekat yang mengalir di dahi, tidak ubah seperti keadaan Aman saat dihantar ke bilik mayat. Keadaan selepas kejadian langgar lari pagi tadi. Motor Aman dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dan Aman tercampak ke dalam longkang besar. 
Wajah pucat yang sememangnya milik Aman tersenyum pada Aisha.
Aisha tanggalkan kasut yang basah lalu melangkah ke dalam rumah. Kali ini, biar air pancuran yang bersihkan setiap inci tubuh Aisha, halau setiap debu toksik daripada tubuhnya.
Mulai hari ini, Aisha mahu berpakaian yang elok-elok dan bersolek cantik-cantik menanti kematian. Kerana kini, setiap saat dirinya akan ditemani bayangan Aman. Bayangan yang cuma Aisha sahaja nampak.
nota kaki: kanser otak boleh menyebabkan halusinasi visual.

iNfO KaPuR tUliS



SEKARANG

AKU =KLIK UNTUK BACA.( permulaan cerita adalah berdasarkan kisah benar,cerita yg mengenai kehidupan seseorang


AKAN DATANG!!

"AKU 2"
sambungan "AKU" yg mengisahkan tentang Helmi sebagai seorng penulis,dan atas dorongan Siska beliau berusaha menempah nama sebagai penulis terkemuka.


"JOM LAYAN HADITH" adalah program terbaru dari blog ini,sama2 kita menghayati dan memahaminya.
by zaki